مَنْ جَدَّ وَجَدَ
Barang siapa bersungguh-sungguh, maka dia akan
mendapatkan (kejayaan)
Mutiara kata ini cukup popular dan tidak asing lagi bagi yang pernah belajar bahasa arab di sekolah atau pondok. Man Jadda Wajada secara bahasanya bermaksud siapa yang bersungguh-sungguh dia akan mendapatkan dan maksud secara mendalamnya adalah siapa yang bersungguh-sungguh maka dia akan mendapatkan hasilnya atau kejayaan.
Menariknya, kesalahan kata kunci yang ramai orang cari di Google bagi tulisan ini adalah Man Jadda Wa Jadda sedangkan yang sebetulnya adalah Man Jadda Wajada. Jika dilihat pada kata Jadda bermaksud bersungguh-sungguh jadi sekiranya kata Jadda diulang pada kata kedua yang mana akan menjadi kalimat Man Jadda Wa Jadda yang bermaksud siapa yang bersungguh-sungguh, ia akan bersungguh-sungguh. Jauh sekali maknanya bukan?
Kalimat Man Jadda mempunyai makna kesungguhan yang sangat luas. Di situ ada proses keyakinan, ada impian dan ada juga kerja keras dalam mencapai impian. Ramai orang yang berangan-angan nak berjaya namun tidak ramai yang mahu bekerja keras.
Man Jadda Wajada seperti sebuah framework besar tentang bagaimana kita boleh berjaya dan mencapai apa yang kita cita-citakan.
Setiap orang perlu ada impian. Bukan hanya tahu bermimpi sahaja tetapi tidak berani buat dan jangan takut untuk mempunyai impian yang besar. Keyakinan diri untuk mencapai impian tersebut juga penting kerana ianya akan mempengaruhi pola pemikiran dan tindakan kita. Kerja keras mencapai impian juga perlu ada. Tanpa kerja keras impian tidak akan dicapai dan kejayaan tidak akan datang secara tiba-tiba atau kebetulan.
Berdisiplin, kesabaran dan konsisten atau istiqamah juga perlu ada. Kejayaan tidak akan datang dengan segera dan memerlukan proses yang lama untuk dicapai. Sangat penting juga supaya kita berdoa dan mendekatkan diri kepada Allah. Kita hanya perlu bekerja keras dan selebihnya serahkan kepada Allah supaya apabila kita berjaya nanti tidak akan menjadikan kita sombong dan apabila gagal kita tidak akan berputus asa dan mundur.
Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain. Kejayaan bukan untuk diri sendiri tetapi kejayaan kita boleh memberikan manfaat sebanyak-banyaknya kepada orang lain. Jadilah orang yang berjaya dan jadilah orang yang bermanfaat.
Wallahu’Alam.